Monday 17 September 2012

Taubatku

"Tuhanku aku tidak layak untuk syurgaMu
 Tetapi aku tidak pula sanggup menanggung seksa nerakaMu
 Oleh itu kurniakanlah keampunan kepadaku
 Ampunkanlah dosaku
 Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar"

Khusyuk menghayati zikir taubat ini, mata semakin perit menahan tangis. Akhirnya, tanpa dapat dibendung lagi, air mata bercucuran jatuh membasahi bumi. Maka bermula saat ini, hadir satu rasa yang kuat untuk berubah menjadi lebih baik. Namun, apakah aku kuat untuk melawan segala dugaan dan rintangan yang bakal mendatang sepanjang perjalanan menjadi baik itu? Goyah.

Kata seorang teman : jangan pernah toleh ke belakang andai dirimu mula terasa ingin berubah menjadi baik. Kerana Allah sentiasa ada bersamamu. InsyaAllah, niatmu itu akan dipermudahkan. Peluklah hidayah yang telah Allah kurniakan itu seerat-eratnya. Jangan sampai Allah jemu dengan kita. Nauzubillah.

Ini pengalaman saya sendiri.

Seingat saya, sehingga hari ini, sudah berkali-kali saya diingatkan Allah untuk kembali dekat denganNya. Tetapi sering saya alpa. Sering kali saya campak kembali hidayah itu jauh-jauh. Apabila hati terasa kosong, saya berusaha mencariNya. Ketika saya diuji dengan rasa keasyikan dunia, saya lupakan Dia. Saya hanyut. Teman yang sering menasihatkan saya, saya abaikan. Saya mula mencari teman untuk bergembira. Tetapi ternyata teman gembira hanya seketika. Sebaliknya teman yang saya abaikan dahulu, itulah teman sejati. Friends till jannah.

Saya bersyukur kerana Allah masih sayangkan saya. Saya bersyukur kerana Allah masih mengurniakan teman yang baik untuk saya tempuh jalan ini. Saya bersyukur kerana Allah jadikan suasana sekeliling saya sesuai dengan matlamat saya untuk berubah. Alhamdulillah.

Saya takut andai suatu hari nanti, saya dibiarkan hanyut dalam kejahilan. Semoga saya kuat menghadapi pancaroba ini. Buatmu sahabat, temanilah aku di jalan ini. Melihat wajahmu, semakin bertambah dekat aku dengan Allah. Uhibbuki fillah abadan abada.

Pesan saya, jika anda ingin berubah menjadi baik, teruskan niat anda. Jangan sesekali toleh kebelakang. Berusahalah untuk berubah. Berusahalah untuk mencari teman yang benar-benar mampu membantu anda. Teman yang tidak takut menegur kesalahan anda walaupun ianya pahit. Teman yang bukan sekadar berkongsi kegembiraan. Tetapkan hati, kuatkan semangat. Teruslah berusaha menjadi baik. Moga Allah permudahkan segalanya. InsyaAllah.

"Rintangan pasti melanda
 Jangan undur walau selangkah
 Teruskan perjuangan
 Hingga ke akhirnya"
~Satu Perjuangan oleh Brothers~


No comments: