Saturday 29 September 2012

Terbang Bebas



Hidup ini umpama layang-layang...
Terbang bebas di udara...
Namun sesekali perlu ditarik agar tidak tersasar...
Tetapi jangan terlalu kuat hingga terputus talinya...

Monday 17 September 2012

Taubatku

"Tuhanku aku tidak layak untuk syurgaMu
 Tetapi aku tidak pula sanggup menanggung seksa nerakaMu
 Oleh itu kurniakanlah keampunan kepadaku
 Ampunkanlah dosaku
 Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar"

Khusyuk menghayati zikir taubat ini, mata semakin perit menahan tangis. Akhirnya, tanpa dapat dibendung lagi, air mata bercucuran jatuh membasahi bumi. Maka bermula saat ini, hadir satu rasa yang kuat untuk berubah menjadi lebih baik. Namun, apakah aku kuat untuk melawan segala dugaan dan rintangan yang bakal mendatang sepanjang perjalanan menjadi baik itu? Goyah.

Kata seorang teman : jangan pernah toleh ke belakang andai dirimu mula terasa ingin berubah menjadi baik. Kerana Allah sentiasa ada bersamamu. InsyaAllah, niatmu itu akan dipermudahkan. Peluklah hidayah yang telah Allah kurniakan itu seerat-eratnya. Jangan sampai Allah jemu dengan kita. Nauzubillah.

Ini pengalaman saya sendiri.

Seingat saya, sehingga hari ini, sudah berkali-kali saya diingatkan Allah untuk kembali dekat denganNya. Tetapi sering saya alpa. Sering kali saya campak kembali hidayah itu jauh-jauh. Apabila hati terasa kosong, saya berusaha mencariNya. Ketika saya diuji dengan rasa keasyikan dunia, saya lupakan Dia. Saya hanyut. Teman yang sering menasihatkan saya, saya abaikan. Saya mula mencari teman untuk bergembira. Tetapi ternyata teman gembira hanya seketika. Sebaliknya teman yang saya abaikan dahulu, itulah teman sejati. Friends till jannah.

Saya bersyukur kerana Allah masih sayangkan saya. Saya bersyukur kerana Allah masih mengurniakan teman yang baik untuk saya tempuh jalan ini. Saya bersyukur kerana Allah jadikan suasana sekeliling saya sesuai dengan matlamat saya untuk berubah. Alhamdulillah.

Saya takut andai suatu hari nanti, saya dibiarkan hanyut dalam kejahilan. Semoga saya kuat menghadapi pancaroba ini. Buatmu sahabat, temanilah aku di jalan ini. Melihat wajahmu, semakin bertambah dekat aku dengan Allah. Uhibbuki fillah abadan abada.

Pesan saya, jika anda ingin berubah menjadi baik, teruskan niat anda. Jangan sesekali toleh kebelakang. Berusahalah untuk berubah. Berusahalah untuk mencari teman yang benar-benar mampu membantu anda. Teman yang tidak takut menegur kesalahan anda walaupun ianya pahit. Teman yang bukan sekadar berkongsi kegembiraan. Tetapkan hati, kuatkan semangat. Teruslah berusaha menjadi baik. Moga Allah permudahkan segalanya. InsyaAllah.

"Rintangan pasti melanda
 Jangan undur walau selangkah
 Teruskan perjuangan
 Hingga ke akhirnya"
~Satu Perjuangan oleh Brothers~


Sunday 16 September 2012

Buatmu Bernama Sahabat

Sahabatku,
Andai suatu hari nanti kau melihat aku terjatuh sehingga tidak mampu bangkit kembali, 
pimpinlah aku.
Andai suatu hari nanti kau melihat aku lena dibuai mimpi,
bangkitkanlah aku.
Andai suatu hari nanti kau melihat aku menangis tidak berhenti, 
kesatkanlah air mataku.
Andai suatu hari nanti kau melihat aku jauh tersasar, 
dekatkanlah aku.
Andai suatu hari nanti kau melihat api amarahku membuak-buak, 
redakanlah aku.
Andai suatu hari nanti kau melihat aku kecewa kerana gagal, 
hiburkanlah aku.
Andai suatu hari nanti kau melihat aku terlupa, 
ingatkanlah aku.
Andai suatu hari nanti kau melihat semangatku pudar, 
peluklah aku, salurkan semangatmu.
Kerana aku percaya,
Kau sahabatku dunia akhirat.
Ya Allah,
Janganlah kau jauhkan sahabatku dariku,
Sokongan dan dorongannya sangat aku perlukan,
Tanpanya ku bisa lemas,
Dengannya aku mampu jadi hebat,
Kerana aku percaya,
Kau sahabatku dunia akhirat.

Uhibbuki fillah ya ukhti,
Friends till jannah,
InsyaAllah..


Monday 10 September 2012

Sila berWaspada ye!

Bismillahirrahmanirrahim..

Pada minggu lepas, saya telah melawat sebuah kedai yg menjual barang-barang dengan harga yang murah. Tahap kemurahan barang tu ada yang sampai mencapai tahap di luar kewarasan saya. Tetapi, sebagai manusia biasa, perempuan pulak tu, nak kata kaya pun tidak, maka saya telah terjatuh hati dengan harga barang-barang tersebut. Habis rambang mata dibuatnya. Rasa macam tak nak keluar dari kedai tu pun ada.huhu

Long story short. Setelah kepenatan berpusing-pusing di dalam kedai terbabit, saya pun mengambil keputusan untuk membeli dua barang. DUA BARANG SAHAJA. Pusing dalam kedai tu dekat setengah jam. Tak berbaloi langsung masa yang diluang tu ye anda semua.haila..haila... Salah satu daripada dua barang tu ialah berus gigi jenama colgate. Satu lagi barang, biarlah rahsia.

Ada apa dengan berus gigi? Berus gigi yang dibeli tu jenamanya colgate. Harganya RM1.95. Nak tau jenis yang mana? Colgate yang 360 tu wa cakap sama lu. Kat Carrefour yang berdekatan dengan rumah saya, harga colgate 360 tu mencecah belasan ringgit. Kat kedai dua hengget pun tak sampai. Gila tak gila. Tanpa berfikir panjang, saya ambik-pergi kaunter-pakcik cashier scan harga-keluar duit-bayar-pulang dengan gembira.

Sampai di rumah, saya pun tayang la dekat kawan saya. Beberapa dialog pun terhasil la dari mulut kami berdua.
               Saya    : Harga colgate 360 berapa eh selalunya?
               Kawan : Belas-belas la gak..
               Saya    : Tengok ni aku beli berapa ringgit je..(sambil menayang-nayang berus gigi tu)
               Kawan : Murahnye..tapi....
               Saya    : Kenapa???
               Kawan : Aku was-was siket la kalau berus gigi yang murah-murah sangat ni. Lagipun tulisan colgate tu macam ada something wrong. Takut gak kalau berus dia tu..

Jeda. Saya terkesima sebentar. Terus saya meng"compute" sesuatu. Aah la...why la saya tak fikir waktu beli tu. Tangan yang tadi dah gatal-gatal nak bukak, terus tak jadi. Saya pun tengok balik berus gigi tu punya pembungkus. Tulisan kat pembungkus tu pun sepatah haram saya tak faham. Dari negara mana pun saya tak tahu. Saya kesal. Mengapakah saya tidak perasan akan hal itu. Saya dibutakan dengan harganya yang boleh menjulingkan mata saya tu. Sehinggakan saya tidak mengambil kira halal-haram-syubhah sesuatu tu.

Saya benar-benar mendapat pengajaran. Selepas ini, memang kena berhati-hati ketika nak beli sesuatu. Lagi-lagi zaman sekarang ni. Halal-haram-syubhah, orang macam tak ambik kisah. Kesimpulannya, sebagai umat Islam, marilah kita berwaspada dan berhati-hati untuk membeli sesuatu barang tu. Jangan bagi perkara haram sebati dengan diri kita. Wallahualam.

p/s : dah beli berus gigi baru. InsyaAllah, yang ni ok. =)

Tuesday 4 September 2012

Saya nak kahwin, tapi...

Tidak lama lagi Syawal akan meninggalkan kita. Jadi, ingin saya bertanya bagaimanakah puasa 6 anda? Harap-harap anda berjaya menghabiskannya sebelum syawal melabuhkan tirai.

Seperti biasa, pada hari raya sanak saudara semua berkumpul. Yang dah berkahwin dan mempunyai anak, soalan biasa, "Bila nak tambah lagi?". Bagi yang baru berkahwin, "Bila nak ada isi ni?". Bagi golongan seperti saya yang masih muda remaja ni, macam biasalah.."Bila nak kahwin?"

Hadoi, penat jugak saya tersenyum memaniskan muka tatkala mendengar soalan tu. Nak jawab beria-ia, malas pulak. Satu hari, berkali-kali ditanya soalan yang sama. Sabar pakcik, makcik, abang, kakak. Bila tiba masanya, InsyaAllah kad jemputan sampai di dalam peti surat rumah anda..hehe..

Sebenarnya, bukan saya tidak ada calon. Calon tu dah ada, tapi tak tahu lagi siapakah gerangannya. Tarikh nikah pun dah tetapkan, tapi tak tahu lah bila. Bukan itu sahaja, tempat majlis pun dah ditempah, tapi tak tahu kat mana. Tu je masalah yang menyebabkan saya masih solo hingga sekarang..hehe

Segalanya dalam ketentuan Allah s.w.t. Sebagai manusia, saya hanya mampu merancang, berusaha dan berharap. Sehebat mana pun rancangan dan usaha saya, Allah juga yang bisa menentukan segalanya. Saya nak kahwin, tapi masanya belum tiba lagi.

InsyaAllah, jodoh tu akan tiba. =)

Doakan saya ya.. :)