Monday 18 July 2011

Perginya Seorang Mujahidah...

Pagi ini kita telah dikejutkan dengan berita pemergian YB. Dr.  Lo'lo'. Sebenarnya, saya telah mendapat berita pemergian beliau lebih kurang pukul 11.00 malam, 17/7/2011. Alhamdulillah, saya telah berkesempatan untuk menziarahi jenazah pada pagi ini di Masjid al-Akram, Kg. Datuk Keramat. Saya juga berkesempatan untuk turut serta menghantar jenazah ke tanah perkuburan Keramat.

Dr. Lo'lo'-Dalam Kenangan
Saya mula berada di Masjid al-Akram sejak jam 7.00 pagi. Saya telah berpeluang untuk membacakan Yassin dan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah. Ketika itu, masih sedikit orang yang berada di situ. Namun begitu, terdapat juga segelintir yang telah berada di masjid sejak malam sebelumnya kerana jenazah Allahyarhamah telah dibawa ke masjid sejak lebih kurang jam 12.30 malam. Tatkala hari mulai cerah, semakin ramai orang memenuhi perkarangan masjid. Orang ramai tidak putus-putus mengunjungi masjid untuk memberikan penghormatan terakhir. Orang ramai berbaris panjang untuk berbuat demikian. Saya juga dapat melihat kekecewaan terpancar pada wajah mereka yang kecewa kerana tidak dapat memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarhamah. Kerana pada waktu itu sudah tiba masa untuk menunaikan solat jenazah.

Solat jenazah telah diimamkan oleh Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Terdapat sebahagian jemaah lelaki yang terpaksa menunaikan solat jenazah di ruang atas masjid kerana ruang utama telah dipenuhi dengan para jemaah. Subhanallah! Bayangkan berapa banyak saf yang didirikan untuk menunaikan solat jenazah tersebut. 

Setelah selesai solat jenazah, jenazah Allahyarhamah telah diusung ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira 500 meter dari masjid. Orang ramai turut berarak untuk mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.

Orang ramai yang turut serta mengiringi jenazah Allahyarharmah ke tanah perkuburan.

Jenazah diangkat oleh orang ramai yang berjalan kaki ke tanah perkuburan.
Sebaik tiba di kawasan perkuburan, orang ramai berpusu-pusu mahu memenuhi kawasan tersebut walaupun pintu masuk ke tanah perkuburan agak sempit. Kawasan perkuburan tersebut dipenuhi oleh orang ramai dari pintu masuk hingga ke pintu masuk yang satu lagi. Dianggarkan bahawa lebih 3000 orang yang menziarahi jenazah Allahyarhamah. Sebahagian besar daripada mereka mengikuti hingga ke bacaan talkin. Jika difikirkan kembali, Allahyarhamah pulang ke rahmatullah sehari selepas nifsu sya'ban, setelah buku lama diganti dengan buku yang baru. Subhanallah! 

Semogo roh beliau dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh dan solehah.InsyaAllah...