Sunday 6 February 2011

Redha akan ujian-Nya


Saya sering mendengar orang di sekeliling saya berkata, "nape budak tu selalu dapat anugerah dekan? walhal perangai macam setan". Ada juga yang mempersoalkan, "tengok orang tu, harta makin bertambah. Tapi, nak tengok muka kat surau bukan main susah". Bukan itu sahaja, ada juga segelintir yang bertanyakan kenapa orang yang jaga ibadahnya tidak jadi kaya, tidak berjaya dalam pelajaran. Baiklah. Saya ingin mengutarakan pandangan saya di sini. Menurut ilmu saya yang serba kekurangan ini, semua keadaan yang disebutkan tadi adalah ujian Allah. Ujian Allah itu dalam pelbagai bentuk dan keadaan. Ada yang dalam bentuk kesenangan dan ada juga dalam bentuk kesusahan. Contoh kesenangan ialah kekayaan, kelapangan waktu dan sebagainya. Sekiranya kesenangan yang dikurniakan kepada seseorang sehingga menyebabkan kelalaian kepada Allah, ia dipanggil sebagai istidraj. Istidraj ialah ujian yang dikenakan Allah terhadap hamba-Nya untuk menyesatkan lagi hamba tersebut. Nauzubillahiminzalik. Marilah kita bersama-sama memohon agar dijauhkan daripada istidraj ini.

Ujian dalam bentuk kesusahan pula ialah kematian, kemiskinan dan sebagainya. Apabila kita ditimpa musibah, hendaklah kita mengucapkan "innalillahiwainnailaihirojiun". Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali. Jika kita ditimpa musibah seperti daripada seorang jutawan kepada papa kedana, kita mesti redha dengan ujian tersebut. Kita seharusnya berkata kepada diri kita bahawa Allah sayang akan kita. Justeru, Dia menurunkan ujian yang sebegitu kepada kita. Mungkin Dia tidak mahu kita jauh daripada-Nya. Kita mestilah bermusahabah. Sesungguhnya, Allah tidak akan membebani hamba-Nya yang tidak mampu menghadapi ujian itu.


Saya percaya bahawa ramai antara kita pernah menghadapi masalah begini: kenapa aku tetap gagal walaupun aku sudah berusaha sekian lama. Kenapa orang lain boleh berjaya walaupun tidak berusaha segigih aku. Pernahkah terkeluar keluhan sebegini daripada mulut anda? Apabila Allah cepat memakbulkan doa mu maka Dia menyayangi mu, Apabila Allah lambat memakbulkan doa mu, maka Dia ingin menguji mu, Apabila Allah tidak memakbulkan doa mu maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untuk mu... Renungilah ayat di atas ini. Semoga mendatangkan manfaat kepada kita. Sentiasa redha dalam menghadapi ujian Allah. InsyaAllah...


Ingatlah bahawa Allah sentiasa bersama kita dalam susah mahupun senang. Cuma kita yang kadangkala melupakan-Nya.

No comments: