Saturday 5 February 2011

Jom Cegah Mungkar!!!


Daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya ; “Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : “Sesiapa daripada kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangan. Jika tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidah. Jika dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan hati, dan itu adalah selemah-lemah iman.”

1) Hendaklah mengubahnya dengan tangan
Ayat di atas bermaksud mencegah kemungkaran menggunakan kuasa yang ada padanya.
Sebagai contoh, seorang polis berhak mencegah kemungkaran yang berlaku mengikut prosedur-prosedur yang sesuai mengikut bidangnya.

2) Hendaklah mengubahnya dengan lidah
Ayat ini pula bererti mencegah perkara mungkar dengan memberikan nasihat atau teguran. Namun begitu, teguran atau nasihat tersebut hendaklah secara berhikmah. Bukanlah dengan cara yang kasar sehingga mengguris perasaan orang yang dinasihati.

3) Hendaklah mengubahnya dengan hati
Ayat ini pula membawa maksud mencegah kemungkaran itu dengan cara membencinya secara total di dalm hati. Yakni berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak melakukan perbuatan mungkar itu. Mencegah kemungkaran dengan hati juga merupakan pencegahan selemah-lemah iman.

Untuk apakah saya membawa topik ini untuk ditulis pada hari ini? Saya ingin memberi analogi untuk difikirkan. Seorang ketua pelajar di sebuah sekolah misalnya. Beliau telah diamanahkan oleh gurunya untuk mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh seorang pelajar. Jika diikutkan, beliau berhak mengubah kemungkaran menggunakan tangan. Namun begitu, disebabkan pesalah merupakan kawan baiknya, dia hanya mampu mengubahnya dengan hati. Pernahkah perkara ini berlaku kepada anda? Perkara seperti ini juga sering berlaku kepada saya. Justeru, saya sering memikirkan bagaimanakah caranya untuk memupuk sifat berani agar kemungkaran dapat diubah dengan tangan.

Saya telah mengajukan pertanyaan ini kepada seorang kenalan saya yang boleh dipercayai ketinggian ilmunya. Beliau memberitahu saya bahawa keberanian itu datang bersama iman yang tinggi. Menurutnya, iman yang tinggi akan menyebabkan rasa cinta yang sangat mendalam terhadap Islam. Maka, seseorang itu tidak akan berasa apa-apa untuk mengubah dengan tangan walaupun dia terpaksa berkorban jiwa dan raga. Untuk itu, kita perlu mendalami ilmu agama disamping memantapkan amal ibadah kita kepada Allah. InsyaAllah, keberanian untuk mencegah kemungkaran akan dikurniakan Allah.

Ayuh kita berusaha tingkatkan keimanan. Bersama-sama menegakkan syiar Islam. Amar makruf nahi mungkar. InsyaAllah. Ingatlah, nahi mungkar lebih sukar untuk dilaksanakan berbanding amar makruf.

No comments: