Thursday 4 July 2013

Secebis Pendapat Cuma

Bismillahirrahirrahmanirrahim.

Perkara pertama yang saya lakukan setelah solat subuh hari ini ialah melayari Facebook.

"Ya Allah! Dr. Morsi dah digulingkan!?"

Hati tiba-tiba seperti tertusuk duri.

Lebih sakit lagi apabila saya membaca status rakan-rakan yang berada di Mesir.

"Golongan Tamarrud sedang meraikan kejatuhan Dr. Morsi."
"Bagai sedang berpesta. Wanita juga turut terpekik terlolong meraikannya."

Astaghfirullah..!

Setahun yang lepas, kita gembira apabila Hosni Mubarak berjaya digulingkan. Kegembiraan itu semakin bertambah apabila Dr. Morsi ditabal sebagai Presiden yang baru. Kerana kita nampak kewibawaan beliau sebagai presiden. Dengan tertabalnya Dr. Morsi, Ikhwanul Muslimin juga semakin dapat meneruskan kegiatan dakwah dengan lebih mudah. Alhamdulillah.

Bukan itu sahaja, kita dapat lihat bagaimana Dr. Morsi memberi sokongan yang padu terhadap rakyat Syria yang ditindas. Sudi memberi bantuan kepada Gaza. Banyak lagi usaha beliau untuk menjulang Islam.

Tetapi, hari ini, kegembiraan kita terhenti. Dr. Morsi digulingkan. Rentetan itu, IM diburu. Terowong-terowong bawah tanah yang menghubungkan Mesir dan Gaza ditutup kembali.

<Al-Ankabut : 1-7>

Alif, Laam, Miim. [1]

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji(dengan sesuatu cubaan). [2]

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka(dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. [3]

Bahkan patutkah orang-orang yang melakukan menyangka bahawa mereka akan terlepas dari azab Kami? Amatlah buruk apa yang mereka hukumkan itu. [4]

Sesiapa yang percaya akan pertemuannya dengan Allah (untuk menerima balasan), maka sesungguhnya masa yang telah ditetapkan oleh Allah itu akan tiba (dengan tidak syak lagi) dan Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. [5]

Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk. [6]

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh sesungguhnya Kami akan hapuskan dari mereka kesalahan-kesalahan mereka dan Kami akan membalas apa yang mereka telah kerjakan dengan sebaik-baik balasan. [7]

Kita semua sedar akan hakikat setiap yang berlaku itu pasti ada hikmah di sebaliknya.

"Kita nak panas sampai ke petang, tiba-tiba hujan turun di tengah hari. Kita berasa kecewa. Rupa-rupanya Allah nak bagi kita pelangi yang indah."

Pernah dengar kan sesuatu yang berbunyi seperti ini?

Mungkin kita masih belum cukup berusaha dalam menjalankan tugas sebagai khalifah di muka bumi.
Mungkin juga kita berasa terlalu selesa kerana kita merasakan, dengan terlantiknya Dr.Morsi, maka Islam dapat ditegakkan sepenuhnya, tetapi kita lupa yang Allah akan menguji hamba-hambaNya seperti ayat kedua Surah Al-Ankabut.
Mungkin kita lupa setiap perkara yang baik pasti akan ditentang. Semakin baik sesuatu perkara itu, semakin hebat tentangan yang akan diterima.
Mungkin doa kita masih belum cukup kuat walaupun kita tahu dan sedar doa itu senjata mukmin.
Dan mungkin kerana Islam masih belum menang.

Namun, kita harus sedar "kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha yang gigih!"

Maka, ayuh kita bangkit meneruskan usaha. Jangan hanya sekerat jalan. Hari ini kisah Mesir sedang panas, berkobar-kobarlah setiap antara kita untuk berjuang. Esok lusa, dilupakan begitu sahaja seperti isu boikot sebelum ini. Usaha dan doa kita jangan seperti pisang goreng yang hanya sedap dimakan apabila panas sahaja.

Ingatlah, kita dan IM itu ibarat cubit paha kanan, paha kiri terasa juga.

Ke arah membina Ustazatul Alam. InsyaAllah.

#pray for muslimin around the world




No comments: